Memaparkan catatan dengan label Kuih-muih. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kuih-muih. Papar semua catatan

Khamis, Februari 15, 2024

Kuih Bom Bijan Inti Kentang

Ada yang panggil kuih bom...  kuih bijan… kuih bom bijan. Ada juga yang panggil onde-onde manis. Apapun namanya, kuih ini memang antara kuih tradisional kegemaran saya. Saya paling suka bahagian kulit luarnya. Inti tidak kisah inti apa… inti kelapa manis ke… kacang hijau ke… janji kulit luar tu best

Pernah masa musim PKP dulu, walaupun bahan serba tak cukup saya buat juga kuih bom bijan ini semata-mata hendak menikmati kulitnya. Itu yang jadi kuih bom mentega kacang tanpa salutan bijan tu. Janji lepas craving kulit kuih bom sudah. 😂

Kali ini saya buat kuih bom inti kentang. Memang ada sesetengah adunan kuih donat dan kuih bom menggunakan kentang yang telah dilenyek untuk mendapatkan tekstur kulit yang lebih lembut. Tetapi, kuih bom yang saya buat ini tidak guna kentang untuk doh kulit sebaliknya kentang dijadikan sebagai inti.


Kuih bom sedia untuk digoreng.

Selasa, Februari 13, 2024

Buat Sardin Gulung Rangup | Sardine Roll

Sardin gulung atau sardine rolls ni memang saya suka makan. Dahulu, kalau jiran ada open order untuk sardin gulung frozen, mesti saya beli. 

Sejak berpindah pada hujung 2022 (dan pindah sekali lagi Oktober 2023 😅),  belum ada rezeki lagi nak makan sardin gulung. Tak jumpa pula kat area rumah saya ni. Teringinnya!

Disebabkan dah teringin sangat, terpaksa rajinkan diri untuk buat sardin gulung. Gigih tengok video cara nak gulung dan kelar-kelar kulit luarnya tu. Setakat inti sardin, boleh ikut cita rasa kita sendiri. 

Inilah hasil kejayaannya.

Sardin gulung rangup.

Jumaat, Ogos 12, 2022

Bebola Keledek Viral yang Rangup dan Enak Dimakan

Assalamualaikum. 

Sebenarnya sudah beberapa hari asyik tergoda dan terliur tengok bebola keledek viral yang lalu lalang di Instagram dan TikTok. Tetapi, tidaklah tergerak hati untuk cuba masak. Pagi ini dalam tercari-cari apa yang hendak dibuat untuk sarapan, nampak pula beberapa keledek manis dalam bakul.

Apa lagi, teruslah kelentung-kelentang di dapur dengan harapan bebola keledek viral yang diimpikan berjaya jadi hidangan makan pagi.

Alhamdulillah, inilah bebola keledek viral saya. Panas-panas lagi dari kuali.

Bebola Keledek Viral

Resepi Bebola Keledek Manis

Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat bebola keledek manis ini tidak banyak. Langkah-langkah penyediaan pun tidaklah serumit mana. Jom tengok bahan-bahan yang diperlukan!

Bahan-bahan:

  • 400g keledek oren
  • 140 gram tepung ubi kayu
  • 140 gram gula
  • 1 - 2 sudu besar air (digunakan hanya jika perlu untuk melembutkan adunan)
  • minyak masak secukupnya untuk menggoreng jeluk (deep fry)


*Selain keledek oren, resepi bebola keledek ini juga boleh diolah dengan menggunakan keledek ungu atau keledek Jepun.


** Jika diikutkan, sukatan gula yang digunakan sama dengan sukatan tepung ubi. Tetapi, terpulanglah pada selera kalian. Andai tidak mahu bebola keledek kalian terlalu manis, kurangkanlah penggunaan gula sesuai selera.

Lihat juga: Resepi Cucur Keledek Kembung


Cara Buat Keledek Viral Rangup

Pertama sekali, bersihkan keledek. Kupas kulit, potong kepada beberapa bahagian supaya lebih mudah empuk dan kukus.

Keledek saya sedia untuk dikukus.

Setelah keledek empuk, lenyek keledek. Kemudian, masukkan tepung ubi kayu dan gula. Gaul sekata dan uli sehingga menjadi doh seperti di bawah ini. Saya tidak guna kesemua tepung ubi sekali gus. Masukkan secara berperingkat dan uli sampai dapat adunan yang tidak melekat di tangan.

Sekiranya doh agak berderai disebabkan terlebih tepung, masukkan satu ke dua sudu besar air. Jika doh lembik, tambahkan sedikit tepung.

Pucat pula doh saya dalam ni. Sebenarnya warnanya lebih oren :)


Setelah itu, gentel-gentel doh sehingga menjadi bebola kecil. Bulat-bulatkan asal jadi bebola sudah. Tidak perlu teliti sangat kerana semasa proses menggoreng nanti bebola keledek kita akan mengembang bulat dengan jayanya.

♫ Bulat kecil ... bulat kecil ... bebola keledek! 🎝🎜


Selesai proses buat bebola, panaskan minyak masak. Guna api sederhana. Minyak memang kena banyak supaya bebola boleh tenggelam. Kita nak deep fry, kan?

Setelah minyak panas, masukkan bebola dan goreng sehingga agak-agak separuh masak. Proses selepas ini yang penting. Jangan lupa buat! 

Apabila bebola keledek kita sudah separuh masak, gunakan sudip untuk tekan bebola di dalam kuali. Proses ini bertujuan untuk mendapatkan bebola yang ringan, rangup dan berlohong di dalamnya. Jika kita balik-balikkan seperti gorengan biasa, tidak dapat lubang kuih. Nanti tepung dalamnya jadi gooey.

Tekan-tekan seolah-olah kita hendak penyekkan bebola yang sedang digoreng. Jangan bimbang bebola tu jadi pipih ke ... kemik ke .... Bebola akan menjadi lebih ringan dan cantik terbentuk kembungnya. Terus tekan dan tekan lagi sambil menggoreng sehingga kulit luarnya mengeras.

Angkat bebola yang sudah masak cantik. Tuskan minyak. Biarkan sejuk seketika sebelum dihidang.

Maaf, gembira sangat bebola keledek viral saya menjadi sampai lupa untuk ambil gambar bahagian dalam bebola yang berlohong tu. Kalian dapat bayangkan bagaimana, kan?


Nikmatilah dengan senyuman. 😊


Bebola Keledek Viral Guna Air Fryer

Bolehkah bebola keledek ini dimasak menggunakan air fryer? Jadi tak lohong di bahagian dalam bebola? Saya betul-betul terlupa. Hasrat asal hendak cuba goreng sebahagian daripada bebola keledek ini menggunakan air fryer. Tetapi, disebabkan teruja tengok hasil gorengan cantik bulat-bulat guna kuali, tahu-tahu habis semua bebola saya goreng sekali.

Insya-Allah, ada kesempatan lain saya cuba bereksperimen masak bebola keledek viral guna air fryer. Kalau ada antara kalian yang sudah cuba resepi bebola keledek viral ini pakai air fryer, jangan lupa kongsi di sini! 

Isnin, Julai 25, 2022

Onde-onde | Buah Melaka Idaman Kalbu

Dalam banyak-banyak kuih tradisional, kuih inilah yang miliki paling banyak nama! Onde-onde dan buah Melaka boleh dikira panggilan biasa untuk kuih daripada tepung pulut bersalut kelapa parut ini. Selain itu, ada yang panggil kelepung atau kelepon. Tidak silap saya orang Johor. Lebih kurang sama seperti di Indonesia. 

Jika di belah Pantai Timur pula, kuih ini dipanggil kekoh char atau woh mulong (buah mulong).

Tidak kiralah apapun namanya, kuih ini memang kesukaan ramai. Kalau masa bulan Ramadan, memang paling laris sebagai juadah pemanis mulut/pembuka selera ketika berbuka puasa.

Part yang paling saya suka -  gigit onde-onde dan ada rembesan manis meletus dalam mulut. 🤤 Gabungan rasa lemak manis doh yang lembut-lebut kenyal dengan air gula (gula nisan atau gula Melaka) memang nikmat betul! Tapi, ada juga yang dah kunyah lumat pun tak muncul-muncul gulanya. Onde-onde kosong. Anggap jelah tak ada rezeki, kan? 🤣


Onde-onde saya 😊

Khamis, April 14, 2022

Popia Tuna Frozen

Assalamualaikum. Kisah buat popia tuna frozen ini kisah sebelum puasa sebenarnya. Sengaja saya buat beberapa jenis kuih frozen buat stok. Saya ni kurang gemar ke bazaar Ramadan. Jadi, kalau rasa hendak makan kuih untuk berbuka puasa atau moreh, adalah kuih dalam peti dingin beku yang boleh dimasak. Tidak pun, buat goreng dan kongsi-kongsi dengan jiran sebagai salah satu hidangan tambahan berbuka puasa.

Rancangan asal hanya ingin buat popia goreng biasa sahaja. Bab buat popia, sebenarnya saya tukang buat inti sahaja. Sayalah yang akan parut semua bahan-bahan, tumiskan, tuskan supaya tidak berair... apabila inti sedia, proses selanjutnya akan disudahkan oleh Bott. Dia ada 100 biji popia yang hendak digulung.


Resepi Popia frozen boleh lihat di sini.


Sementara Bott gulung popia, saya kemas pantri. Terjumpa beberapa tin tuna. Dari situlah tergerak hati hendak buat popia tuna. Saya potong dadu bawang Holland setengah biji, masukkan beberapa sudu mayones, serbuk lada putih dan garam secukup rasa kemudian gaul semua bahan sehingga sekata.

Inilah inti popia tuna saya.

Inti popia tuna

Rabu, April 13, 2022

Rezeki Kuih Angku

Baru-baru ini balik kampung jumpa Cekebon. Seperti biasalah, macam-macam yang Cekebon dan Cekengah bekalkan. Saya kalau balik sana memang kena bawa beg tambahan. Nak mengangkut oleh-oleh, lauk-pauk, snek kunyah-kunyah dan macam-macam lagilah.

Antara bungkusan yang dibawa balik, ada sebekas kuih angku. Pernah makan tak? Kuih ini dinamakan angku atau red tortoise cake. Bentuknya comel seperti kura-kura 😊. Dahulu semasa di sekolah menengah, saya selalu makan kuih ni. Kawan sekelas saya ni peranakan baba nyonya, selalu dia bawa untuk saya. Saya pula tahu makan je. Banyak tau kuih baba nyonya lain yang saya berpeluang rasa tetapi tak pernah ambil tahu pun apa nama kuihnya. Dah tua-tua nilah baru ambil maklum, ini kuih angku.

Angku | Red tortoise cake

Jumaat, Mac 25, 2022

Makarun Kelapa Makan Ulang-ulang

Assalamualaikum.

Ada tidak dalam kalangan kalian yang suka makan makarun kelapa (coconut macaroons)? Dua bahan asas makarun kelapa ialah putih telur dan kelapa parut. Saya sebenarnya suka sangat rasa makarun ini berbanding makarun berwarna-warni yang ada inti manis di tengah-tengah tu. 

Hendak membuatnya pun tidaklah sesukar mana cuma setiap kali teringin hendak makan makarun kelapa, mesti stok kelapa kering tiada di rumah. Maka, kerap tertangguhlah hasrat itu.

Ini makarun kelapa saya.

Makarun kelapa

Khamis, Februari 17, 2022

Percubaan Pertama Buat Akok

Assalamualaikum. 

Hari ini cerita tentang percubaan pertama saya membuat salah satu daripada kuih tradisi Kelantan, akok. Asalnya, seperti biasalah rasa teringin hendak makan. Dah lama benar tidak jumpa kuih akok. Gerai tempat saya selalu cari kuih akok yang sedap asyik tutup sahaja. Di situ akok pandan pun ada jual. Mungkin mereka sudah tidak berniaga lagi.

Tengah-tengah mengidam akok, ada pula kawan kongsi gambar akok yang dibuat untuk hidangan minum petang. Saya pun apa lagi, terus mengendeng minta resepi. Alang-alang susah nak jumpa, kita cuba belajar buat sendiri!

Sebelum ini, saya tengok banyak video orang buat akok pakai acuan mufin atau kek cawan sahaja. Tak perlu susah-payah cari loyang tembaga untuk kuih akok. Cantik je kejadiannya. Kemudian, bakar akok pun dalam oven. Tidak perlu gigih cari sabut kelapa. Mudah, bukan? Nak akok versi autentik yang ikut cara penyediaan tradisi, kena tunggu rezeki di lain kesempatan. Sementara hendak lepaskan hajat tekak, kita buat cara moden, mudah dan jimat masa.


Resepi Akok Kedut Sedap dan Lembut

Akok kedut

Khamis, Februari 03, 2022

Nescafe Dairy Free dan Loukoumades untuk Minum Petang

Hari ini saya dan Bott minum petang dengan produk Nescafe Dairy Free. Satu oat latte manakala satu lagi almond latte. Dapat percuma sebab beli produk Nestle di Lazada. Selama ini apabila nampak di kedai atau di Lazada, tak tergerak hati pun nak beli. Yalah, sekarang memang beraneka produk minuman bebas tenusu yang ada untuk pengguna. Bukan setakat Nescafe, Milo pun dah ada produk bebas tenusu.

Nescafe Dairy Free Oat Latte dan Almond Latte

Sabtu, Disember 11, 2021

Apam Gebu Tak Cukup Satu

Sebelum ini saya pernah kongsi resepi Apam Bakar Kelantan. Memang sedap apam tersebut tetapi ada sesetengah orang kurang gemar kerana terganggu dengan rasa halia dan lada hitam. Jadi, hari ini saya kongsikan satu lagi versi resepi apam bakar yang lebih ringkas tetapi tetap enak, gebu dan lembut teksturnya.


Begini Cara Menyediakan Apam Tepung Gandum yang Gebu

Jika apam bakar Kelantan menggunakan tepung beras dan pisang sebagai asas dohnya, apam gebu ini menggunakan tepung gandum sahaja. Tidak perlu masukkan pisang.


Apam bakar gebu sedia untuk dinikmati.

Ahad, November 21, 2021

Resepi Lempeng Kelapa yang Enak, Lembut dan Berlemak

Sudah agak lama sebenarnya saya buat lempeng kelapa ini untuk hidangan sarapan. Lama peram dalam draf, baru sekarang terhegeh-hegeh buat entri. 

Orang utara panggil peknga nyoq. Saya suka sangat aroma lempeng kelapa yang membangkitkan selera. Wangi satu rumah. Kebetulan, beberapa hari sebelum itu saya masak sambal tumis ikan bilis dan masih berbaki. Terbayang-bayang keenakan lempeng kepala panas yang dicecah dengan sambal tumis. Tak boleh jadi! Memang kena melempenglah jawabnya.

Salah satu tips untuk menghasilkan lempeng kelapa yang enak berlemak adalah dengan menggunakan parutan kelapa sederhana muda. Orang panggil nyiur kulit hidup. Isinya lebih manis. Barulah kawww! Tetapi, masa tu hendak melempeng baru hendak dicari kepala parut muda .... lupakan sahaja. Pakailah kelapa parut biasa yang ada di dalam peti dingin beku. 

Lihat Cara Simpan Kelapa Parut di sini.


Selain itu, penggunaan air kelapa dan santan turut memainkan peranan supaya lempeng kelapa kita lebih enak. Tetapi, usah khuatir. Dua bahan ini sekadar ramuan tambahan. Kalau ada santan lebih di dalam peti sejuk tu bolehlah guna. Jika tiada, tak perlu pening kepala. Tanpa air kelapa dan santan pun lempeng tetap sedap. Kan kita sudah letak banyak kelapa parut. 

Inilah lempeng kelapa saya.

Selasa, Oktober 12, 2021

Apam Bakar Kelantan yang Gebu dan Mudah Disediakan

Sebenarnya saya sudah lama teringin hendak makan apam bakar Kelantan atau tepung apam. Apam lembut gebu yang diperbuat daripada tepung beras, disajikan dengan kelapa parut memang lazat sekali. Bagi saya, apam bakar Kelantan sedikit berbeza daripada hidangan apam yang lain. Agak unik rasanya disebabkan penggunaan bahan-bahan seperti bawang merah, halia dan lada hitam.

Hendak mencari apam bakar Kelantan asli di kawasan saya memang tidak akan jumpalah. Jadi, mahu tidak mahu terpaksa usaha buat sendiri. Saya cuba dapatkan resepi daripada teman-teman di sebelah Pantai Timur. Ada banyak versi juga rupanya. Ada yang guna halia, ada yang tidak. Ada yang letak tapai, ada yang letak nasi. Saya difahamkan penggunaan tapai atau nasi adalah untuk buat apam supaya jadi lebih gebu dan kekal lembut sepanjang hari. 

Kebetulan beberapa hari sebelumnya memang ada beli tapai kerana mahu buat tapai goreng. Tetapi, dah jumpa resepi tradisi apam bakar yang guna tapai, kita dahulukan yang ini.


Lihat juga: Resepi Tapai Goreng


Hasil percubaan pertama saya membuat apam bakar Kelantan.

Sabtu, September 11, 2021

Sambal Sardin | Sardin Gulung

Baru-baru ini, seorang kenalan saya telah bermurah hati hantar sebekas penuh ikan sardin berkuah tomato yang dia buat sendiri menggunakan pressure cooker. Punyalah saya dan Bott gembira. Kami berdua ni pantang jumpa sardin. Tetapi, tak adalah diikutkan sangat rasa suka tu. Makanan dalam tin, kan ... jarang masuk menu. Sekali-sekala, apabila teringin baru beli barang setin dua. 

Dah dapat versi homemade, mulalah laju fikir hendak masak apa. Pilihan pertama, tentunya sambal sardin dan kentang. 

Sambal Sardin dan Kentang

Isnin, September 06, 2021

5 Idea Hidangan Mudah untuk Minum Petang

Assalamualaikum. Tengah buat apa tu? Saya sedang berehat sekejap sambil isi perut. Hari ini agak lama duduk di hadapan komputer buat tugas suntingan, rasa penat pula. Berehat sebentar untuk coffee break. Sebelum ini, saya ada buat cakoi dan saya dinginbekukan. Panaskan semula beberapa ketul dengan air fryer, nikmati cakoi dengan secangkir kopi.

Resepi Mudah Cakoi di sini.

Gendang gendut tali kecapi. Kenyang perut senang hati! Bolehlah sambung kerja.

Khamis, September 02, 2021

Kakiage untuk Minum Petang

Kelmarin, selepas Bott balik beli barang dapur dan keperluan rumah, saya kemas peti sejuk. Korek baki bahan masak yang lama supaya boleh dimasak terlebih dahulu berbanding stok bahan baru beli. 

Ada lebihan kobis, lobak merah dan cili hijau. Kebetulan untuk minum petang tak terfikir hendak sediakan juadah apa lagi. Jadi, masak kakiage sahajalah.

Kakiage merupakan sejenis hidangan sayuran digoreng rangup lebih kurang seperti tempura. Untuk buat kakiage kita hanya perlu ada bawang besar dan beberapa sayuran yang dihiris memanjang seperti lobak merah, cili benggala, keledek dan kobis.

Kakiage untuk Minum Petang

Kakiage saya kali ini banyak cacat celanya. Dah hiris bawang, tetapi selepas digoreng baru sedar yang bawang masih di atas papan pemotong. Kemudian, sewaktu potong kobis, entah apa yang saya fikirkan ... tahu-tahu dah jadi potongan dadu. Okey, jom tengok resepi.


Resepi Kakiage Mudah

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 1 labu bawang besar
  • 1/2 batang lobak merah
  • 1/4 - 1/2 biji kobis, terpulang hendak banyak mana
  • beberapa tangkai cili hijau.

* Secara asasnya, ada 2-3 jenis sayur dah cukup dah. Jika ingin lebih sedap, boleh juga tambah hirisan cendawan atau jejari ketam.

  • 1/4 - 1/2 cawan tepung
  • beberapa sudu tepung ubi
  • 1 biji telur


** Penggunaan tepung agak-agak sahaja. Sekadar untuk salut bahan-bahan yang kita hiris seadanya. Tidak perlu banyak macam hendak buat bater cucur. 

Adunan kakiage sedia untuk digoreng.


*** Tak ada tepung ubi? Apa salahnya kita derhaka resepi. 😅 Boleh tukar kepada tepung beras atau tepung jagung. Hasil akhir sedikit berbeza mengikut jenis tepung yang digunakan.


Langkah-langkah penyediaan:

  1. Masukkan semua bahan  yang telah dihiris ke dalam sebuah mangkuk sederhana besar.
  2. Kemudian, masukkan tepung gandum, tepung ubi dan telur yang telah dipukul sedikit.
  3. Gaul sekata semua bahan.
  4. Panaskan minyak. Api biar sederhana besar. Apabila minyak dah betul-betul panas, sudukan adunan ke dalam kuali.
  5. Goreng sehingga kakiage bertukar keperangan. Balik-balikkan agar gorengan sekata.
  6. Angkat. Tuskan minyak. Sedia untuk dihidangkan bersama sos pilihan. 


Kakiage biasanya dihidangkan dengan sos khas dipanggil tentsuyu. Tetapi, saya tidak buat pun. 😊 


Pstt! Masih dalam proses blogwalking sambil berperang dengan masalah kotak komen. Kalau komen tak muncul, insya-Allah saya datang round lain kali dan komen bertubi-tubi 😂



Isnin, Ogos 02, 2021

Buat Karipap Air Fryer

Minggu lepas, saya buat karipap air fryer. Tiba-tiba teringin hendak makan karipap. Dah teringin tu kenalah usaha untuk buat, kan? Alhamdulillah, bahan-bahan asas semua ada. 

Projek buat karipap pun bermula. Tetapi, jangan salah faham ya. Bukan semua proses pembuatannya menggunakan air fryer. Inti karipap saya buat seperti biasa dalam kuali. Cuma bab goreng karipap tu sahaja guna air fryer

Untuk inti karipap, saya buat main agak-agak sahaja. Kentangnya saya rebus dan lenyek terlebih dahulu sebelum dimasak dengan rempah kari dan bahan-bahan lain. Dahulu, di kawasan perumahan kami, ada orang jual karipap inti lenyek ni. Saya dan adik-beradik memang suka sangat beli dan makan panas-panas.

Kulit karipap pula saya guna resepi di bawah. Tetapi, saya buat setengah adunan sahaja. Dapatlah dalam 24 - 26 biji.

Resepi Kulit Karipap

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 500g tepung gandum
  • 2 sudu makan mentega
  • 1/4 sudu teh garam
  • 1/2 cawan minyak masak
  • 1 cawan air dingin

Langkah penyediaan:

  1. Mula-mula, satukan tepung gandum dan garam. Gaul sekata.
  2. Panaskan minyak masak. Setelah panas, masukkan mentega supaya turut cair bersama minyak masak.
  3. Tuangkan minyak dan mentaga cair ke dalam tepung dan gaul dengan garpu sehingga tekstur menjadi seperti serbuk roti. 
  4. Sesudah itu, masukkan air dingin (air sejuk dari peti sejuk) sedikit demi sedikit dan uli sehingga menjadi doh yang tidak melekat di tangan. Saya akan biarkan doh rehat dalam lebih kurang satu jam. Sementara itu saya siapkan intinya. 😊

Proses mengelim karipap

Isnin, Julai 26, 2021

Donut Holes untuk Minum Petang

Ingat lagi mengenai Donat Maaf Aku Tak Sempurna saya sebelum ini? Semasa mengerjakan donat tersebut, saya memang sengaja asingkan donut holes (lebihan doh yang diambil dari bahagian donat yang dilubangkan) dan tidak gabung dengan baki doh yang ada. Saya biarkan donut holes ini mengembang sama-sama dengan donat yang lain, kemudian saya bakar sekejap di dalam penggoreng udara (air fryer). Cukup-cukup sahaja untuk bagi ketulan-ketulan kecil ini masak dan kekal bentuknya.

Setelah sejuk, saya simpan di dalam bekas dan dinginbekukan. Donat holes kita jadikan stok dan simpan untuk minum petang hari-hari kemudian.

Dua tiga hari belakangan ini 'kan memang cuaca panas. Mulalah mulut tu asyik mencari benda hendak dimakan. Jadi, kita gorenglah donat holes.

Khamis, Julai 15, 2021

Donat Maaf Aku Tak Sempurna

Sabtu lepas, saya groggy sebab makan ubat alahan. Malam sebelumnya entah salah makan apa, tahu-tahu dah tergaru-garu. Bila makan ubat, sepanjang hari berat mata. 

“Hidup lagi ke dah mati?”

Sayup-sayup je dengar suara Bott. Siapa yang hidup siapa yang mati? Buka mata baru perasan, saya terkelap di meja dapur. Waktu ini sebenarnya niat baik nak temankan Bott kemas dapur. Tetapi, Bott jelah yang mengemas. Saya tersengguk-sengguk kat situ.

Dekat tangan Bott ada dua paket yis segera. Bott tengah periksa tarikh luput bahan-bahan kering di dalam pantri. Rasanya yis dalam paket tu saya beli masa mula-mula kita PKP tahun lepas. Kononnya nak meroti. Sampai sudah tak guna. Tarikh luputnya pun tak nampak kat mana.

Saya sempat cakap dekat Bott, kalau nak tahu yis tu hidup lagi ke tidak, pergi bagi yis makan gula. Sesudah tu saya selamat belayar ke ‘Mimpiland’.

"Hidup lagi! Ni hidup lagi, kan?" 

Isnin, Jun 14, 2021

Resepi Air Fryer - Ubi Bakar Cajun

Satu lagi resepi mudah untuk disediakan yang sangat sedap dibuat kunyah-kunyah, Ubi Bakar Cajun. Untuk resepi ini, saya menggunakan dua jenis ubi - ubi kentang dan ubi keledek oren. 

Bahan-bahan yang diperlukan juga tidak banyak. Cuma ubi, sedikit minyak, beberapa ulas bawang putih dan rempah cajun secukupnya. Jika tiada rempah cajun, boleh ditukar kepada thyme atau rosemary. Tetapi, dah tak boleh panggil ubi bakar cajun lah ya. 

Isnin, Jun 07, 2021

Biskut Mentega Bawang Putih dan Lemon untuk Minum Petang

Baru-baru ini, sewaktu tengah kebosanan tidak tahu hendak buat apa, saya putuskan untuk bakar biskut. Kebetulan cuaca panas petang tu dan perut pun mula menunjukkan simptom-simptom lapar; bergegaslah saya ke dapur untuk lihat bahan apa yang ada. Seronok juga kalau dapat makan sesuatu yang lemak enak bermentega untuk minum petang.

Saya buat biskut mentega. Tetapi, ini bukan biskut mentega rangup tau sebaliknya jenis cakey, lebih kepada honey butter biscuits yang macam Texas Chicken jual tu. Disebabkan tak rasa macam nak makan biskut manis bermadu, saya buat perasa bawang putih, lemon dan oregano.